Ahad, 24 Oktober 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (5)

BAB 2
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN DUA KALIMAH SYAHADAH


FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Barangsiapa yang berlaku kepadanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, maka dia telah murtad iaitu keluar dari agama Islam atau putus dari ikatan agama Islam. Murtad termasuk dosa kufur yang merupakan dosa paling besar di sisi Allah taala dan tidak ada lagi dosa yang lebih besar dari dosa kufur.

Bagi menyelesaikan masalah murtad tidak dapat tidak kita mesti mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan murtad. Oleh itu, seseorang yang mukallaf itu wajib mempelajari perkara yang boleh membatalkan Dua Kalimah Syahadah supaya dia tidak terjerumus ke dalam kancah murtad dan supaya dapat mengislamkan kembali mereka yang telah murtad. Ini kerana orang yang tidak mengetahui sesuatu kemudaratan tidak dapat menyelamatkan dirinya dan orang lain dari kemudaratan tersebut.


FASAL KEDUA: SEBAB-SEBAB MURTAD

Tiga perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad seperti yang telah diterangkan oleh para ulama di kalangan empat mazhab, iaitu: kufur i^tiqadiyy, kufur fi^liyy, kufur qawliyy.


Kufur I^tiqadiyy
Kufur i^tiqadiyy ialah kekufuran dengan sebab niat, pegangan, kepercayaan atau keyakinan dalam hati. Antara contoh kufur i^tiqadiyy ialah:
1) Ragu-ragu atau syak terhadap Allah dan rasul-Nya atau al-Quran atau hari Akhirat atau syurga atau neraka atau ganjaran-Nya atau balasan-Nya atau hukum-Nya atau syiar-Nya atau perkara yang telah diijmakkan (disepakati) oleh para ulama mujtahidin.
2) Kepercayaan bahawa alam ini azali pada jisim dan unsurnya atau unsurnya sahaja.
3) Menafikan salah satu sifat dari sifat-sifat Allah yang telah diijmakkan seperti sifat Maha Mengetahui segalanya.
4) Mensifatkan Allah dengan suatu sifat yang tidak layak bagi-Nya seperti mensifatkan-Nya mempunyai jasad, bertempat, berakal dan seumpamanya.
5) Menghalalkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti zina, liwat, membunuh, mencuri, merompak, menyamun, arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.
6) Mengharamkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti berjual beli, nikah dan seumpamanya.
7) Menafikan kefarduan pada perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai wajib atau fardu hukumnya dengan ijmak seperti solat fardu atau salah satu daripada rukun-rukun solat (seperti sujud), zakat, puasa, haji, wuduk, menutup aurat dan seumpamanya.
8) Berniat atau berazam mahu menganut agama bukan Islam pada masa akan datang.

Perhatian: Lintasan hati tidak menyebabkan murtad kerana ia muncul di dalam hati tanpa kehendak seseorang.


Kufur Fi^liyy
Kufur fi^liyy ialah kekufuran dengan sebab perbuatan yang zahir meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur fi^liyy ialah:
1) Sujud kepada berhala atau matahari atau bulan atau sesuatu selain Allah yang dianggap sebagai tuhan.
2) Sujud kepada manusia dengan tujuan menyembahnya.
3) Perbuatan menghina hukum atau syiar Islam seperti melempar mushaf al-Quran, kitab atau helaian yang mengandungi ayat al-Quran, hadis atau hukum-hukum agama Islam ke tempat yang jijik atau kotor.
4) Memakai syiar agama bukan Islam dengan tujuan berbangga atau kagum dengan agama bukan Islam tersebut seperti memakai rantai salib dan baju yang ada salib.

Kufur Qawliyy
Kufur qawliyy ialah kekufuran dengan sebab perkataan kufur yang diugkap dengan sengaja meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur qawliyy ialah:
1) Memanggil seorang muslim yang lain: “Wahai kafir!” atau “Wahai Yahudi!” atau “Wahai Kristian!” atau “Wahai orang yang tiada agama” dengan maksud agama Islam yang dianut oleh muslim itu sebagai agama yang bersifat kufur, atau sebagai agama Yahudi, atau sebagai agama Kristian, atau sebagai bukan agama. Jika panggilan tersebut dengan maksud untuk menyamakan perbuatan jahat muslim tersebut dengan perbuatan orang kafir, atau orang Yahudi, atau orang Kristian, atau orang yang tiada agama, maka itu bukan suatu kekufuran.
2) Menghina, memperlekeh, merendah-rendah atau mempersenda-sendakan salah satu daripada sifat-sifat, nama-nama Allah, janji-Nya, ancaman-Nya, kitab-Nya, nabi-nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-hukum-Nya, syiar-Nya dan seumpamanya.
3) Menafikan salah satu daripada sifat-sifat wajib bagi Allah dan para nabi-Nya.
4) Mensifatkan dengan sifat mustahil kepada Allah dan para nabi-Nya.

Perhatian: Lima keadaan perkataan kufur dikecualikan dari dihukumkan sebagai murtad, iaitu;
1) Keadaan tersasul: iaitu perkataan yang terluncur di lidah tanpa sengaja atau tanpa kehendak.
2) Keadaan hilang akal atau belum baligh. Namun, wajib ke atas kita menegah atau melarang orang yang hilang akal atau kanak-kanak tersebut dari mengungkapkan perkataan kufur.
3) Keadaan dipaksa dengan ugutan bunuh atau seumpama bunuh, iaitu dengan syarat; orang yang dipaksa itu masih lagi beriman di dalam hatinya, tidak meredai dan tidak beriktikad dengan perkataan kufur tersebut.
4) Keadaan menghikayatkan atau menceritakan perkataan kufur sama ada memulakan dengan menyatakan pihak yang berkata dengan perkataan kufur tersebut iaitu sebelum perkataan kufur, contohnya: “Golongan Wahhabi berkata: “Allah duduk di atas Arasy”, atau dengan menyatakan pihak yang berkata tersebut selepas perkataan kufur iaitu dengan berniat terlebih dahulu sebelum bercerita bahawa akan menyatakan pihak yang berkata itu selepas perkataan kufur tersebut, contohnya: “[Berniat bahawa akan menyatakan bahawa puak Wahhabi mengungkapkan perkataan kufur ini] Allah duduk di atas Arasy”. Kata puak Wahhabi”.
5) Keadaan seseorang yang mentakwil dengan ijtihadnya dalam memahami hukum syarak dalam perkara yang bukan qat^iyy. Contohnya golongan yang enggan membayar zakat pada zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakr dengan takwilan mereka bahawa zakat wajib dibayar pada zaman hayat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa-sallam kerana doa keampunan baginda buat mereka ketika membayar zakat adalah suatu ketenangan dan penyucian dari dosa buat mereka berdasarkan ayat 103 surah al-Tawbah.


Kaedah: Setiap pegangan, perbuatan atau perkataan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah, kitab-kitab-Nya, para nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-Nya, syiar-Nya, janji-Nya atau ancaman-Nya adalah suatu kekufuran.

SOALAN 4: Kenapa Allah mengutus para rasul?



Jawapan: Allah telah mengutus para rasul untuk mengajar manusia tentang kemaslahatan agama mereka dan dunia mereka, dan untuk mengajak manusia supaya menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.

Allah ta^ala berfirman:
فَعَبَثَ اللهُ النَّبِيِّين مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ
Maknanya: "..maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan". (Surah al-Baqarah: 213)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
أَفْضَلُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِن قَبْلِي لا إِلَهَ إِلا اللهُ
Maknanya; "Perkataan paling utama yang aku dan para nabi sebelumku mengungkapkannya ialah لا إله إلا الله (Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah)". (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan selainnya). WaLlahu a^lam.

Sabtu, 15 Mei 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (4)

FASAL KETIGA: HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN

  • Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada sesiapa yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap dalam agama Islam dan beramal dengan syariat Islam.
  • Untuk menganut agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah berserta dengan iktikad yang benar lagi utuh.
  • Lafaz Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan dengan lafaz ashhadu (أشهد) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke dalam agama Islam. Bahkan, boleh dilafazkan dengan ungkapan lain yang semakna dengannya meskipun bukan dalam bahasa Arab.
  • Kefarduan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas seluruh umat Islam kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah menurut mazhab al-Shafi^i.
  • Orang yang membesar dalam Islam dan beriktikad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia sebenarnya sudah menjadi orang Islam kerana dia telahpun dididik dan diasuh dengan aqidah tauhid.
  • Menurut ulama dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib diucapkan sekali seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah dia baligh dengan niat fardu. Ini kerana mereka tidak mewajibkan bacaan tahiyyat dalam solat, bahkan mereka menganggapnya sebagai sunat. Sedangkan menurut ulama dalam mazhab-mazhab yang lain seperti ulama mazhab Shafi^i dan mazhab Hanbali, dua kalimah syahadah diwajibkan dalam setiap solat supaya solat menjadi sah.
  • Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan segala amalan kebajikannya tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah yakni tanpa iman yang benar.
  • Ucapan syahadah pertama wajib diiringi dengan ucapan syahadah kedua bagi mengesahkan keislaman seseorang yang mahu memeluk agama Islam. Itulah kadar minima untuk selamat dari kekal abadi di dalam api neraka.

Selasa, 11 Mei 2010

SOALAN 3: Bagaimanakah ibadah menjadi sah?

Jawapan: Beribadah kepada Allah menjadi sah apabila dilakukan oleh orang yang meyakini kewujudan Allah dan tidak menyamakan atau menyerupakan-Nya dengan sesuatu apapun dari makhluk-Nya.

Allah taala berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ
Maknanya: "Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)". [Surah al-Shura: 11]



RasuluLlah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda:

لا فِكْرَة فِي الرَّبِّ
Maknanya: "Tidak boleh berfikir (membayangkan) tentang Allah". [Diriwayatkan oleh Abu`l-Qasim al-Ansari]

Al-Ghazali berkata:
لاتَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ
Maknanya: "Ibadah tidak sah kecuali selepas mengetahui (Allah yang wajib) disembah".

Selasa, 27 April 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (3)

Makna Kalimah Syahadah Kedua:
“Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn ^AbduLlah ibn ^Abdul-Muttalib ibn Hashim ibn ^Abdu Manaf al-Qurashi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad bahawa baginda diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul di Mekah, berhijrah ke Madinah dan disemadikan di sana, baginda benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan disampaikan daripada Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku, perkara-perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab, neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd, syafaat, syurga, melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat, tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat, keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qadar Allah iaitu qadar baik dan qadar buruk, dan sesungguhnya baginda adalah penyudah segala nabi dan penghulu seluruh keturunan Adam”.

Perhatian: Lafaz ashhadu (أشهد) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:
1. (أعلم) yakni “aku mengetahui”,
2. (أعتقد) yakni “aku mempercayai” dan
3. (أعترف) yakni “aku mengakui”.

Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana majoriti orang Yahudi yang telah pun mengetahui kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dan mengenali baginda sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri tetapi tidak mahu mengakuinya.

Rabu, 14 April 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (2)

BAB 1
DUA KALIMAH SYAHADAH



FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah”.

Perkara yang paling utama dan pertama yang wajib diketahui, diiktikadkan dalam setiap keadaan dan disebut segera oleh orang kafir, dan jika sudah Islam maka wajib disebut dalam solat ialah Dua Kalimah Syahadah.


FASAL KEDUA: MAKNA DUA KALIMAH SYAHADAH

Makna Kalimah Syahadah Pertama:
Aku mengetahui, berpegang dengan hatiku tanpa dipaksa dan mengakui dengan lidahku bahawa tiada Tuhan dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha Tidak Berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang Dia kehendaki, sesuatu yang Dia kehendaki pasti berlaku dan sesuatu yang Dia tidak kehendaki tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat dengan setiap sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.
Tatimmah: Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan tiga belas sifat bagi Allah ta^ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam (sedia ada), al-Baqa (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk), al-Wahdaniyyah (keesaan), al-Qudrah (kuasa), al-Iradah (kehendak), al-^Ilm (tahu), al-Hayah (hidup), al-Sam^ (dengar), al-Basar (lihat) dan al-Kalam (kata).

Rabu, 7 April 2010

AL-^AQIDATUL-MURSHIDAH


[Ini adalah manuskrip kitab yang menghuraikan al-^Aqidah al-Mursidah yang berjudul al-Durratul-Mufridah fi Sharh ^Aqidatil-Murshidah oleh al-Shaykh al-Qadi al-Ustadh Abu ^AbdiLlah Muhammad ibn al-Shaykh al-Marhum Abul-^Abbas Ahmad al-Umawi yang dikenali dengan nama Ibnun-Niqash]











Al-^Aqidatul-Murshidah ini ditulis oleh Ibn Tumart Abu ^AbdiLlah Muhammad ibn AbdiLlah al-Hasani (w. 524 H) murid al-Imam al-Ghazali. Sesungguhnya lebih empat kurun matan aqidah ini telah diulang-ulangkan oleh para muazzin pada waktu tasbih.

Ibn Tumart berkata:
اعلم أرشدَنا الله وإيّاكَ أنه يجبُ على كلّ مكلَّف أن يعلمَ أن الله عزَّ وجلَّ واحدٌ فـي مُلكِه، خلقَ العالمَ بأسرِهِ العلويَّ والسفليَّ والعرشَ والكرسيَّ، والسَّمواتِ والأرضَ وما فيهما وما بينهما، جميعُ الخلائـقِ مقهورونَ بقدرَتِهِ، لا تتحركُ ذرةٌ إلا بإذنِهِ، ليسَ معهُ مُدبّرٌ في الخَلقِ ولا شريكٌ في المُلكِ، حيٌّ قيومٌ لا تأخذُهُ سِنةٌ ولا نومٌ، عالِمُ الغيب والشهادةِ، لا يَخفى عليهِ شيءٌ في الأرضِ ولا في السماءِ، يعلمُ ما في البرّ، والبحرِ وما تسقطُ من ورقةٍ إلا يعلمُهَا، ولا حبةٍ في ظلماتِ الأرضِ ولا رَطبٍ ولا يابسٍ إلا في كتابٍ مبين. أحاط بكلّ شىءٍ علمًا وأحصى كلَّ شىءٍ عددًا، فعالٌ لما يريدُ، قادرٌ على ما يشاءُ، له الملكُ وله الغِنَى، وله العزُّ والبقاءُ، ولهُ الحكمُ والقضاءُ، ولهُ الأسماءُ الحسنى، لا دافعَ لما قضى، ولا مانعَ لما أعطى، يفعلُ في مُلكِهِ ما يريدُ ، ويحكمُ في خلقِه بما يشاءُ. لا يرجو ثوابًا ولا يخافُ عقابًا، ليس عليه حقٌّ (يلزمُهُ) ولا عليه حكمٌ، وكلُّ نِعمةٍ منهُ فضلٌ وكلُّ نِقمةٍ منه عدلٌ، لا يُسئلُ عما يفعلُ وهم يُسألونَ. موجودٌ قبل الخلقِ، ليس له قبلٌ ولا بعدٌ، ولا فوقٌ ولا تحتٌ، ولا يَمينٌ ولا شمالٌ، ولا أمامٌ ولا خلفٌ، ولا كلٌّ، ولا بعضٌ، ولا يقالُ متى كانَ ولا أينَ كانَ ولا كيفَ، كان ولا مكان، كوَّنَ الأكوانَ ودبَّر الزمانَ، لا يتقيَّدُ بالزمانِ ولا يتخصَّصُ بالمكان، ولا يشغلُهُ شأنٌ عن شأن، ولا يلحقُهُ وهمٌ، ولا يكتَنِفُهُ عقلٌ، ولا يتخصَّصُ بالذهنِ، ولا يتمثلُ في النفسِ، ولا يتصورُ في الوهمِ، ولا يتكيَّفُ في العقلِ، لا تَلحقُهُ الأوهامُ والأفكارُ، ليس كمثله شيء وهو السميع البصير. انتهى
Maksudnya:
"Ketahuilah – semoga Allah membimbing kami dan anda – sesungguhnya wajib ke atas setiap mukallaf untuk mengetahui bahawa Allah ^azz wa jall itu esa pada kerajaan-Nya, Dia mencipta alam dengan kekuatan-Nya iaitu alam ^ulwi (alam atas), alam sufli (alam bawah), Arasy, Kursi, segala langit, bumi, sesuatu yang ada di langit dan bumi, sesuatu yang ada di antara langit dan bumi. Semua makhluk itu dikuasai dengan kekuasaan-Nya, tiada suatu zarah pun dapat bergerak melainkan dengan izin-Nya, tiada suatu yang mentadbir bersama-Nya pada penciptaan dan tiada suatu sekutu pada kekuasaan. Dia Yang Maha Hidup lagi Yang Maha tidak memerlukan selain-Nya lagi tidak terkena rasa mengantuk dan tidak juga tidur, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata, tiada suatu pun yang ada di langit dan tiada juga yang di bumi tersembunyi daripada-Nya, Dia mengetahui sesuatu yang di daratan dan di lautan. Tiada suatu daun pun yang jatuh melainkan Dia mengetahuhinya, tiada suatu biji benih pun yang dalam kegelapan malam bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan ada dalam suatu catatan yang nyata. Dia meliputi segala sesuatu dengan ilmu dan menghitung bilangan segala sesuatu, yang melakukan apa yang Dia kehendak dan berkuasa di atas apa yang Dia mahu, Dia memilki kekuasaan dan memiliki kekayaan, Dia memiliki kemuliaan dan kekekalan, Dia memiliki hukum dan keputusan, Dia memiliki nama-nama yang sangat indah, tiada suatu yang dapat menolak pun bagi perkara yang telah Dia beri keputusan dan tiada suatu yang dapat menegah bagi perkara yang telah Dia beri, Dia melakukan dalam kekuasaan-Nya perkara yang Dia mahu dan Dia menghukum makhluk-Nya dengan perkara yang Dia kehendak. Dia tidak mengharapkan ganjaran dan tidak bimbang kepada seksaan, tiada suatu hak pun (yang diwajibkan) ke atas-Nya dan tiada suatu hukuman pun ke atas-Nya, setiap nikmat daripada-Nya adalah suatu kelebihan dan setiap balasan seksaan daripada-Nya adalah suatu keadilan, Dia tidak akan ditanya tentang apa yang Dia perbuat dan merekalah (makhluk) yang akan ditanya. Dia wujud sebelum penciptaan, tiada bagi-Nya sebelum dan selepas, tiada juga arah atas dan tiada arah bawah, tiada arah kanan dan tiada arah kiri, tiada arah hadapan dan tiada arah belakang, tiada semua dan tiada sebahagian, tidak boleh ditanya bilakah Dia ada, juga tidak boleh ditanya di manakah Dia berada dan tidak boleh ditanya bagaimana, Dia ada (azali) dan suatu tempat pun tidak ada, Dia mengadakan segala alam dan mentadbir masa, Dia tidak berkait dengan masa dan tidak dikhususkan dengan tempat, tidak dilekakan oleh suatu hal dengan suatu hal, Dia tidak ditemui oleh suatu sangkaan dan tidak dilingkungi oleh suatu akal, tidak dikhususkan dengan sifat akal, tidak terupa dalam diri seseorang, tidak boleh digambarkan dalam sangkaan, tidak dibagaimanakan dalam akal dan tidak boleh ditemui oleh segala sangkaan dan fikiran, (Allah taala berfirman):
((ليس كمثله شيء وهو السميع البصير))
Maksudnya:
"Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat". [Surah al-Shura, ayat 11]”. Intaha.


SEJARAH AQIDAH MURSHIDAH

Di dalam kitab Tabaqat al-Shafi^iyyah al-Kubra oleh al-Imam Tajud-Din al-Subki (w. 771 H) ada dinyatakan bahawa al-Shaykh Abu Mansur ^Abd al-Rahman ibn Muhammad Fakfrud-din ibn ^Asakir (w. 620 H) pernah mengajar kitab al-^Aqidatul-Murshidah di Damsyik.

Al-Mu'arrikh Taqiyyud-Din al-Maqrizi (w. 845 H) berkata dalam kitabnya al-Mawa^iz wal-I^tibar bi Dhikril-Khutat wal-Athar:
"لما ولي السلطان صلاح الدين يوسف بن أيـوب.. تقدم الأمر إلى المؤذنين أن يعلنوا وقت التسبيح على المآذن بالليل، بذكر العقيدة التي تعرف بالمرشدة، فواظب المؤذنون على ذكرها في كل ليلة بسائر جوامع مصر إلى وقتنا هذا". اهـ.
Maksudnya:
"Tatkala al-Sultan Salahud-Din Yusuf ibn Ayyub dilantik sebagai pemerintah…dia mendahulukan perintah kepada para muazzin supaya menyiarkan pada waktu tasbih di atas tempat azan pada malam hari dengan menyebut matan aqidah yang dikenali dengan judul al-Murshidah. Kemudian para muazzin sentiasa menyebut matan ilmu aqidah tersebut pada setiap malam di sekalian masjid jamik di Mesir sehingga masa kita ini". Intaha.

Al-Hafiz Jalalud-Din al-Suyuti al-Shafi^i (w. 911 H) berkata dalam kitabnya al-Wasa'il ila Ma^rifatil-Awa'il:
"فلما وُلي السلطان صلاح الدين بن أيوب أمر المؤذنين أن يعلنوا في وقت التسبيح بذكر العقيدة الأشعرية، فواظب المؤذنون على ذكرها كل ليلة إلى وقتنا هذا". اهـ.
Maksudnya:
"Tatkala al-Sultan Salahud-Din ibn Ayyub dilantik sebagai pemerintah, lalu dia memerintahkan para muazzin supaya menyiarkan pada waktu tasbih dengan menyebut aqidah al-Ash^ariyyah (para pengikut al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari). Kemudian para muazzin sentiasa menyebut aqidah tersebut pada setiap malam sehingga masa kita ini". Intaha.

Al-^Allamah Muhammad ibn ^Illan al-Siddiqi al-Shafi^i (w. 1057 H) berkata dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyyah ^ala al-Adhkar al-Nawawiyyah:
"لما ولي صلاح الدين بن أيوب وحمل الناس على اعتقاد مذهب الأشعري، أمر المؤذنين أن يعلنوا وقت التسبيح بذكر العقيدة الأشعرية التي تعرف بالمرشدة فواظبوا على ذكرها كل ليلة". اهـ.
Maksudnya:
"Tatkala al-Sultan Salahud-Din ibn Ayyub dilantik sebagai pemerintah dan ketika itu orang ramai berpegang dengan iktikad mazhab al-Ash^ari, lalu dia memerintahkan para muazin supaya menyiarkan pada waktu tasbih dengan menyebut aqidah al-Ash^ariyyah yang dikenali dengan judul al-Murshidah. Kemudian para muazin sentiasa menyebut matan ilmu aqidah tersebut pada setiap malam". Intaha.

Al-Hafiz Salahud-Din al-^Ala'i (w. 761 H) berkata seperti yang dinaqalkan daripadanya oleh al-Imam al-Subki dalam Tabaqat al-Shafi^iyyah al-Kubra:
"وهذه العقيدة المرشدة جرى قائلها على المنهاج القويم، والعقد المستقيم وأصاب فيما نزّه به العليَ العظيم". اهـ.
Maksudnya:
"Dan al-^Aqidatul-Murshidah ini, orang yang berpegang dengannya berada di atas jalan yang benar dan kontrak yang lurus dan dia juga tepat dalam perkara mensucikan Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung". Intaha.

Al-Imam Tajud-Din al-Subki (w. 771 H) berkata dalam kitabnya Mu^idun-Ni^am wa Mubidun-Niqam:
"عقيدة الأشعري هي ما تضمنته عقيدة أبي جعفر الطحاوي وعقيدة أبي القاسم القشيري والعقيدة المسماة بالمرشدة ، مشتركات في أصول أهل السنة والجماعة". اهـ.
Maksudnya:
"Aqidah al-Ash^ari adalah suatu yang mengandungi aqidah al-Imam Abu Ja^afar al-Tahawi, aqidah al-Imam Abul-Qasim al-Qushayri dan aqidah yang dinamakan sebagai al-Murshidah. Semua aqidah tersebut sama dalam prinsip-prinsip Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah". Intaha.

Al-Imam Muhammad ibn Yusuf al-Sanusi (w. 895 H) berkata ketika menghuraikan al-^Aqidatul-Murshidah dalam kitabnya al-Anwarul-Mubinah li Ma^ani ^Aqd al-^Aqidatil-Murshidah:
اجتمعت الأئمة على صحة هذه العقيدة وأنها مرشدة رشيدة. اهـ
Maksudnya:
"Para imam (ulama muktabar ikutan) bersepakat di atas kesahihan aqidah ini (al-^Aqidatul-Murshidah) dan bahawa al-^Aqidatul-Murshidah memang suatu yang menunjuk (kepada kebenaran) dan yang memberi petunjuk". Intaha.

Al-Imam Tajud-Din al-Subki (w. 771 H) dalam kitabnya Tabaqat al-Shafi^iyyah al-Kubra di akhir al-^Aqidatul-Murshidah selepas dia membawanya dengan selengkapnya dia berkata:
هذا آخر العقيدة وليس فيها ما ينكره سني. اهـ
Maksudnya:
"Inilah akhir al-^Aqidatul-Murshidah dan tidak suatu perkara pun yang boleh disangkal oleh seorang Sunni pun di dalamnya [di dalam al-^Aqidatul-Murshidah]". Intaha.

Matan aqidah ini telah disyarahkan oleh beberapa orang ulama, seperti kitab-kitab:
1. Sharh Abi ^AbdiLlah Muhammad ibn Khalil al-Sukuni,
2. al-Durarul-Mushidah fi Sharh al-^Aqidatil-Murshidah oleh al-Shaykh Muhammad ibn Ibrahim al-Tilimsani
3. Sharh Abi ^AbdiLlah Muhammad ibn Yusuf al-Kharrat,
4. al-Durratul-Mufridah fi Sharh al-^Aqidatil-Murshidah oleh al-Shaykh al-Qadi Abu ^AbduLlah Muhammad ibn Isma^il al-Umawi yang dikenali dengan nama Ibn al-Niqash,
5. Sharh Abi ^AbdiLlah Muhammad ibn Yahya al-Tarabulsi,
6. Sharh Abi Zakariyya al-Tunusi,
7. al-Anwarul-Mubinah li Ma^ani ^Aqd al-^Aqidatil-Murshidah oleh al-Imam al-Rabbani al-Sufi Abi ^AbdiLlah Muhammad ibn Yusuf al-Sanusi, dan
8. Sharh Abi ^Uthman Sa^id ibn ^Abdil-Mun^im al-Haji.

WaLlahu a^lam...

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (1)

بسم الله الرحمن الرحيم


MUKADIMAH

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على سيدنا محمد الأمين
وعلى ءاله وأصحابه أنصار الدين
ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له
ولا شبيه ولا نظير ولا مثيل له
وأشهد أنّ محمدًا عبده ورسوله
وحبيبه وخليله

أما بعد



Ilmu aqidah tauhid adalah perkara utama dan pertama yang wajib dipelajari. Ini melihat kepada beberapa dalil. Antaranya:

Firman Allah taala:
فاعلم أنه لا إله إلا الله واستغفر لذنبك وللمؤمنين والمؤمنات
Bermaksud: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu, bagi muslimin dan muslimat”.[Surah Muhammad, ayat 19]

Ayat ini mendahulukan perintah agar mempelajari ilmu Tauhid iaitu mengenal Allah sebelum perintah agar memohon ampun.

Rasulullah pernah ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda menjawab:

إِيـمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Bermaksud: “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Ini kerana segala amalan soleh tanpa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tidak akan diterima sama sekali oleh Allah.

Al-Imam al-Ghazali telah berkata:
لا تَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلاَّ بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ
Bermaksud: “Tidak sah ibadah seseorang itu kecuali selepas dia mengenal Tuhan yang berhak disembah”.

Ini bererti bahawa sesiapa yang bukan hanya tidak mengenal Allah bahkan menyamakan dan menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya seperti mengatakan Allah itu seperti cahaya lampu atau mengatakan Allah mendiami langit atau duduk di atas Arasy atau mensifatkan-Nya sama seperti makhluk maka dia sebenarnya telah menyembah sesuatu yang dibayangkan dalam khayalannya. Oleh sebab itu, dia dikira kafir musyrik dan ibadahnya juga tidak sah.

Ibn Majah meriwayatkan bahawa seorang sahabat Jundub bin Abdullah telah menyatakan:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتَعَلَّمْنَا الإِيـمَانَ قَبْلَ أَن نَتَعَلَّمَ الْقُرْءَانَ, ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْءَانَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيـمَانًا
Bermaksud: “Ketika kami kecil, kami mempelajari keimanan dahulu sebelum mempelajari Al-Quran kemudian setelah kami mempelajari Al-Quran maka bertambah-tambahlah iman kami” . [Lihat dalam Sunan Ibn Majah: al-Muqaddimah].

Al-Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitabnya Manaqib al-Shafi^i dan al-Hafiz Ibn ^Asakir menyebutkan dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari bahawa al-Imam al-Shafi^i berkata:

أَحْكَمْنَا ذَاكَ قَبْلَ هَذَا
Bermaksud: “Kami mendalami ilmu tauhid sebelum cabangan fekah”.

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al—Fiqhul-Absat:

اعْلَمْ أنَّ الْفِقْهَ في الدِّينِ أَفْضَلُ مِنَ الْفِقْهِ في الأَحْكَامِ
Bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya mendalami ilmu tauhid lebih utama daripada mendalami ilmu hukum-hakam” .

Ini tidak bermakna ilmu hukum-hakam tidak wajib dipelajari, bahkan kata-kata al-Imam Abu Hanifah ini menerangkan bahawa ilmu Tauhid itu sememangnya wajib dan amat penting dan sangat utama.

Di samping alasan-alasan di atas, ketahuilah persoalan aqidah tauhid lebih utama kerana perkara aqidah wajib diamalkan atau dipegang seumur hidup kita sedari bangun tidur sehingga tidur semula dan sedari baligh sehingga mati. Hal ini tidak seperti solat, puasa, zakat, zikir, bacaan al-Quran dan sebagainya yang dapat diamalkan pada batasan waktu tertentu. Selain itu, persoalan aqidah tauhid adalah soalan pertama yang dikemukakan di alam barzakh gerbang akhirat.

Oleh itu, saya terdorong untuk menyusun satu risalah yang akan membicarakan Dua Kalimah Syahadah dari pelbagai sudut seperti makna Dua Kalimah Syahadah, perkara-perkara yang membatalkannya dan taubat dari murtad. Saya menjudulkan risalah ini sebagai Aku Bersaksi… Penjelasan Aqidah Dari Dua Kalimah Syahadah. Mudah-mudahan risalah kecil menjadi satu sebab kepada hidayah dan rahmat kepada sesiapa yang membacanya. Semoga pembikinan risalah kecil menjadi amal soleh buat penulis dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyebarannya.

Selasa, 16 Februari 2010

SOALAN 2: Apakah hikmah penciptaan jin dan manusia?

Jawapan: Untuk diperintahkan oleh Allah supaya beribadah kepada-Nya.

Allah ta^ala berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونَ
Maknanya: "dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku". [Surah al-Dharriyyat, ayat 56]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda:
حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ أَن يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا
Maknanya: "Hak Allah ke atas para hamba hendaklah mereka beribadah kepada-Nya dan tidak mensyirikkan sesuatu pun dengan-Nya". [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]
WaLlahu a^lam.

Ahad, 7 Februari 2010

SOALAN 1: Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu agama yang (hukum mempelajarinya) fardu ain?



Jawapan: Setiap mukallaf diwajibkan mempelajari suatu kadar ilmu agama yang dia perlu yang terdiri daripada akidah, bersuci, solat, puasa, zakat bagi orang diwajibkan untuk mengeluarkannya, haji bagi orang yang berkemampuan, maksiat-maksiat hati, tangan, mata dan sebagainya.

Allah ta^ala berfirman:
قُلْ هَلْ يَسْتَوى الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Maknanya: "Katakanlah (wahai Muhammad) tidaklah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui". [Surah al-Zumar: 9]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maknanya: "Menuntut ilmu agama (yang daruri atau teras itu) adalah wajib ke atas setiap muslim". [Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi]
WaLlahu a^lam.

Ahad, 3 Januari 2010

PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 6

PENJELASAN YANG TEPAT
BAHAWA ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT
Fasal 5

Penjelasan
Bahawa Tidak Boleh Berkata: “Allah Di Setiap Tempat atau Di Mana-mana



Ketahuilah bahawa seseorang itu tidak boleh berkata: “Allah di setiap tempat atau di mana-mana” meskipun dia memahami ungkapan yang fasid ini dengan makna bahawa Allah mengetahui setiap perkara. Berikut adalah dalil larangan tersebut:

Al-Mutakallim al-Imam Ibn Furak al-Ash^ari (w. 407 H) berkata dalam kitabnya Mushkilul-Hadith[1]:
اعلم أن الثلجي كان يذهب مذهب النجار في القول بأن الله في كل مكان وهو مذهب المعتزلة وهذا التأويل عندنا منكر من أجل أنه لا يجوز أن يقال إن الله تعالى في مكان أو في كل مكان
Maksudnya:
“Ketahuilah bahawa al-Thalji pernah berpegang dengan mazhab al-Najjar dalam pendapat bahawa Allah itu di setiap tempat, sedangkan ini juga mazhab al-Mu^tazilah. Takwil ini di sisi kami adalah suatu kemunkaran dari kerana tidak boleh dikatakan bahawa Allah taala itu berada di suatu tempat atau di setiap tempat”. Intaha.

Al-Mutakallim Ibn Furak berkata lagi[2]:
فمتى ما رجعوا في معنى إطلاق ذلك إلى العلم والتدبير كان معناهم صحيحًا واللفظ ممنوعًا ألا ترى أنه لا يسوغ أن يقال إن الله تعالى مجاور لكل مكان أو مماس له أو حال أو متمكن فيه على معنى أنه عالم بذلك مدبرٌ له
Maksudnya:
“Maka apabila mereka merujuk makna ungkapan itu kepada ilmu dan tadbir maka makna mereka itu sahih dan lafaz pula dilarang. Bukankah anda melihat bahawa tidak boleh mengungkap untuk berkata bahawa Allah taala itu bersebelahan di setiap tempat, atau bersentuhan dengan setiap tempat, atau meresap di setiap tempat, atau bertempat di setiap tempat dengan makna bahawa Dia mengetahui dan mentadbir setiap tempat?”. Intaha.

Al-Imam al-Hafiz Abu Bakr al-Bayhaqi al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 458 H) berkata dalam kitabnya al-I^tiqad wal-Hidayah ila Sabilir-Rashad[3]:
وفيما كتبنا من الآيات دلالة على إبطال قول من زعم من الجهمية أن الله سبحانه وتعالى بذاته في كل مكان وقوله عز وجل: ((وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ)) إنما أراد به بعلمه لا بذاته
Maksudnya:
“Dan dalam ayat-ayat yang telah kami tulis itu ada suatu pendalilan bagi membatalkan pendapat daripada sangkaan golongan al-Jahmiyyah bahawa Allah subhanahu wa-ta^ala itu berada di setiap tempat dengan zat-Nya. Dan firman Allah ^azza wa-jall: وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ sebenarnya bermaksud dengan ilmu-Nya bukannya dengan zat-Nya”. Intaha.

Hujjatul-Islam al-Shaykh Abu Hamid al-Ghazali al-Shafi^i al-Asha^ari (w. 505 H) berkata bagi menyanggah Jahm ibn Safwan yang merupakan salah seorang daripada pemuka-pemuka ahli bidaah dalam kitabnya al-Arba^in fi Usulid-Din[4]:

ولا ترتبك في مواقع غلطه فمنه غلط من قال: إنه في كل مكان. وكل من نسبه إلى مكان أو جهة فقد زلّ فضلّ ورجع غاية نظره إلى التصرف في محسوسات البهائم ولم يجاوز الأجسام وعلائقها
Maksudnya:
“Dan jangan anda meragukan diri anda tentang beberapa tempat kesalahannya. Antaranya ialah kesalahan orang yang berkata bahawa Dia (Allah) itu di setiap tempat. Dan setiap orang yang menisbahkan-Nya kepada suatu tempat atau suatu arah maka dia telah menyeleweng dan sesat, dan kemuncak pandangannya merujuk kepada beralih dalam perkara yang dirasai oleh binatang, sedangkan Allah tidak ada kaitan dengan segala jisim dan perkara yang ada kaitan dengan jisim dan perkara-perkara yang berkaitan dengan jisim..”. Intaha.

Ibn Kathir (w. 774 H) berkata dalam kitabnya Tafsir al-Qur’anil-^Azim[5]:
اتفق المفسرون على إنكار قول الجهمية الأول القائل تعالى عن قولهم علوًّا كبيرًا بأنه في كل مكان
Maksudnya:
“Ulama tafsir bersepakat bagi menginkar pendapat al-Jahmiyyah golongan pertama yang berkata – Allah maha suci dari pendapat mereka ini – bahawa Allah itu di setiap tempat”. Intaha.

Al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 852 H) dalam kitabnya Fathul-Bari[6]:
وقد نزع به بعض المعتزلة القائلين بأن الله في كل مكان وهو جهل واضح وفيه – أي في حديث: (إن أحدكم إذا قام في صلاته فإنه يناجي ربّه إن ربّه بينه وبين القبلة) – الردّ على من زعم أنه على العرش بذاته
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya hadis ini dipertikai oleh sebahagian golongan al-Mu^tazilah yang berkata bahawa Allah itu di setiap tempat, sedangkan ini suatu kejahilan yang nyata. Dan dalamnya – iaitu dalam hadis (إن أحدكم إذا قام في صلاته فإنه يناجي ربّه إن ربّه بينه وبين القبلة) - ada sanggahan ke atas sesiapa yang menganggap bahawa Dia di atas Arasy dengan zat-Nya”. Intaha.

Al-Shaykh ^Abdul-Wahhab ibn Ahmad al-Sha^rani berkata dalam kitabnya al-Yawaqit wal-Jawahir:
لا يجوز أن يقال إنه تعالى في كل مكان كما تقول المعتزلة والقدرية
Maksudnya:
“Tidak boleh dikatakan bahawa Dia (Allah) taala itu di setiap tempat seperti yang dikatakan oleh golongan al-Mu^tazilah dan al-Qadariyyah. Intaha.

Di sini pengingkaran ditegaskan setegas-tegasnya ke atas kaum Mu^tazilah dan Jahmiyyah yang berpegang dengan kalimah seperti yang dinaqalkan di atas. Penyelewengan aqidah seperti ini juga kita akan mendapatinya di dalam tulisan Sayyid Qutb iaitu dalam karangannya Fi Zilalil-Qur’an ketika mentafsir ayat 4 surah al-Hadid: (( وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ)) - [yang makna zahirnya: dan Dia bersama kamu di mana jua kamu berada] - dia berkata[7]:
وهو كلمة على الحقيقة لا على الكناية والمجاز. فالله سبحانه مع كل واحد ومع كل شيء في كل وقت وفي كل مكان
Maksudnya:
“Dan ia suatu kalimah yang menurut hakikat bukannya menurut kinayah (sindiran makna) dan majaz (memaksudkan suatu makna daripada makna-makna yang pelbagai). Maka Allah subhanahu bersama setiap orang dan bersama setiap sesuatu pada setiap waktu dan di setiap tempat.”. Intaha.
Ini suatu kejahilan nyata. Inna liLlah wa inna ilayhi raji^un... Allah maha suci dari segala sifat yang disifatkan oleh kaum yang zalim...

WaLlahu a^lam.
______________________________

[1] Ibn Furak, Mushkilul-Hadith, Dar al-Kutub al-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 63.
[2] Ibid, hlm. 65 – 66.
[3] Al-Bayhaqi, al-I^tiqad wal-Hidayah ila Sabilir-Rashad, ^Alam al-Kutub, Beirut, hlm. 70.
[4] Al-Ghazali, al-Arba^in fi Usulid-Din, Dar al-Afaq al-Jadidah, Beirut, hlm. 198.
[5] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’anil-^Azim, Dar al-Andalus, Beirut, jil. 3, hlm. 7.
[6] Ibn Hajar al-^Asqalani, Fathul-Bari bi-Sharh Sahihil-Bukhari, Dar al-Ma^rifah, Beirut, juz. 1, hlm. 508.
[7] Sayyid Qutb, Fi Zilalil-Qur’an, Dar al-Shuruq, jil. 6, juz. 27, hlm. 3481.