Rabu, 23 Mei 2012

SOALAN 20: Jelaskan hukum mengucapkan pujian buat Rasulullah صلى الله عليه وسلم?


Jawapan: Pengucapan pujian buat Rasulullah صلى الله عليه وسلم dibolehkan dengan ijma^.

                Allah تعالى berfirman:
وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
(سورة القلم: 4)
Maknanya: "Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) berperilaku yang agung". (Surah al-Qalam: 4)

                Allah تعالى berfirman:
وَعَزَّرُوهُ وَنـَصَرُوهُ
(سورة الأعراف: 157)
Maknanya: "..mereka memuji dan membelanya (Rasulullah)". (Surah al-A^raf: 157)

                Perkataan عزّروه membawa makna memuji dan mengagungkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

                Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah seperti berikut:
إِنَّ بَعْضَ النِّسَاءِ مَدَحْنَ النَّبِيَّ عَلَيْهِ السَّلامُ بِقَوْلِهِنَّ أَمَامَ النَّبِيِّ: "يَا حَبَّذَا مُحَمَّدٌ مِن جَارٍ"
Maknanya: "Sesungguhnya sebahagian wanita ada memuji Nabi عليه السلام di hadapan Baginda sendiri dengan kata-kata: "Oh! Betapa mulianya Muhammad sebagai seorang jiran"".

                Telah thabit bahawa sangat ramai sahabat Nabi memuji Baginda seperti Hassan ibn Thabit, al-^Abbas dan selain mereka, sedangkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri tidak mengingkari perkara tersebut, bahkan Baginda menilainya sebagai perbuatan yang baik.

SOALAN 19: Bagaimanakah cara untuk masuk Islam?


Jawapan: Dengan pengucapan dua kalimah syahadah disertai dengan niat masuk Islam, bukannya dengan pengucapan istighfar seperti: أستغفر الله. Jangan terkeliru dengan zahir firman Allah تعالى tentang Nabi Nuh عليه السلام bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم  bersabda:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ
(سورة نوح: 10)
Maknanya: "Maka aku berkata: "Kamu pohonlah keampunan daripada Tuhan kamu". (Surah Nuh: 10)

                Ini kerana maknanya yang sebenar ialah bahawa Nabi Nuh  عليه السلام telah mengajak kaum Baginda untuk masuk Islam dengan beriman kepada Allah dan Nabi-Nya Nuh عليه السلام supaya Allah mengampunkan mereka.

                Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَن لا إِلَهَ إِلا اللهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللهِ
(متفق عليه)
Maknanya: "Aku diperintahkan untuk memerangi umat manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

SOALAN 18: Apakah dalil yang membolehkan ziarah kubur bagi lelaki dan perempuan?


 Jawapan: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
زُورُوا القُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُم بِالآخِرَةِ
(رواه البيهقي)
Maknanya: "Kamu ziarahilah kubur kerana sesungguhnya ziarah kubur itu mengingatkan kamu kepada kehidupan akhirat". (Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi)

SOALAN 17: Hukum orang yang mencaci Allah adalah kafir. Jelaskan perkara ini dengan dalil.



Jawapan: Al-Qadi ^Iyad menaqalkan ijma^ (kesepakatan ulama mujtahidin) bahawa orang mencaci Allah adalah kafir meskipun dalam keadaan marah, bergurau atau hati yang tidak lapang (tidak reda dengan makian tersebut daripada ucapannya sendiri).

                Allah تعالى berfirman:
ولَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللهِ وَءَايَاتِهِ وَرَسُولِه كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ(65)
لاَ تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَنِكَمْ
(سورة التوبة: 65-66)
Maknanya: "Dan jika kamu bertanya kepada mereka (tentang perkara yang mereka katakan itu), tentulah mereka akan menjawab: "sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain-main sahaja". Katakanlah (kepada mereka): "Apakah terhadap Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu boleh memperolok-olokkan! Tidak perlu kamu meminta maaf, sebenar kamu telah menjadi kafir setelah kamu beriman". (Surah al-Tawbah: 65-66)

                Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
إِنََّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لا يَرَى بِـهَا بَأْسـًا يَهْوِي بِـهَا فِي النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفـًا
(رواه الترمذي)
Maknanya: "Sesungguhnya boleh terjadi seorang hamba mengucapkan perkataan (yang memperolok-olokkan atau menghina Allah atau syariat-Nya) yang dia tidak menganggapnya sebagai bahaya, (sedangkan perkataan tersebut) akan menjerumuskannya ke (dasar) neraka (yang untuk sampai kepadanya) selama 70 tahun (diperlukan dan hanya dihuni oleh orang-orang kafir sahaja). (Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi)