Rabu, 14 April 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (2)

BAB 1
DUA KALIMAH SYAHADAH



FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah”.

Perkara yang paling utama dan pertama yang wajib diketahui, diiktikadkan dalam setiap keadaan dan disebut segera oleh orang kafir, dan jika sudah Islam maka wajib disebut dalam solat ialah Dua Kalimah Syahadah.


FASAL KEDUA: MAKNA DUA KALIMAH SYAHADAH

Makna Kalimah Syahadah Pertama:
Aku mengetahui, berpegang dengan hatiku tanpa dipaksa dan mengakui dengan lidahku bahawa tiada Tuhan dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha Tidak Berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang Dia kehendaki, sesuatu yang Dia kehendaki pasti berlaku dan sesuatu yang Dia tidak kehendaki tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat dengan setiap sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.
Tatimmah: Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan tiga belas sifat bagi Allah ta^ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam (sedia ada), al-Baqa (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk), al-Wahdaniyyah (keesaan), al-Qudrah (kuasa), al-Iradah (kehendak), al-^Ilm (tahu), al-Hayah (hidup), al-Sam^ (dengar), al-Basar (lihat) dan al-Kalam (kata).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan