Rabu, 7 April 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (1)

بسم الله الرحمن الرحيم


MUKADIMAH

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على سيدنا محمد الأمين
وعلى ءاله وأصحابه أنصار الدين
ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له
ولا شبيه ولا نظير ولا مثيل له
وأشهد أنّ محمدًا عبده ورسوله
وحبيبه وخليله

أما بعد



Ilmu aqidah tauhid adalah perkara utama dan pertama yang wajib dipelajari. Ini melihat kepada beberapa dalil. Antaranya:

Firman Allah taala:
فاعلم أنه لا إله إلا الله واستغفر لذنبك وللمؤمنين والمؤمنات
Bermaksud: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu, bagi muslimin dan muslimat”.[Surah Muhammad, ayat 19]

Ayat ini mendahulukan perintah agar mempelajari ilmu Tauhid iaitu mengenal Allah sebelum perintah agar memohon ampun.

Rasulullah pernah ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda menjawab:

إِيـمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Bermaksud: “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Ini kerana segala amalan soleh tanpa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tidak akan diterima sama sekali oleh Allah.

Al-Imam al-Ghazali telah berkata:
لا تَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلاَّ بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ
Bermaksud: “Tidak sah ibadah seseorang itu kecuali selepas dia mengenal Tuhan yang berhak disembah”.

Ini bererti bahawa sesiapa yang bukan hanya tidak mengenal Allah bahkan menyamakan dan menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya seperti mengatakan Allah itu seperti cahaya lampu atau mengatakan Allah mendiami langit atau duduk di atas Arasy atau mensifatkan-Nya sama seperti makhluk maka dia sebenarnya telah menyembah sesuatu yang dibayangkan dalam khayalannya. Oleh sebab itu, dia dikira kafir musyrik dan ibadahnya juga tidak sah.

Ibn Majah meriwayatkan bahawa seorang sahabat Jundub bin Abdullah telah menyatakan:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتَعَلَّمْنَا الإِيـمَانَ قَبْلَ أَن نَتَعَلَّمَ الْقُرْءَانَ, ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْءَانَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيـمَانًا
Bermaksud: “Ketika kami kecil, kami mempelajari keimanan dahulu sebelum mempelajari Al-Quran kemudian setelah kami mempelajari Al-Quran maka bertambah-tambahlah iman kami” . [Lihat dalam Sunan Ibn Majah: al-Muqaddimah].

Al-Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitabnya Manaqib al-Shafi^i dan al-Hafiz Ibn ^Asakir menyebutkan dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari bahawa al-Imam al-Shafi^i berkata:

أَحْكَمْنَا ذَاكَ قَبْلَ هَذَا
Bermaksud: “Kami mendalami ilmu tauhid sebelum cabangan fekah”.

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al—Fiqhul-Absat:

اعْلَمْ أنَّ الْفِقْهَ في الدِّينِ أَفْضَلُ مِنَ الْفِقْهِ في الأَحْكَامِ
Bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya mendalami ilmu tauhid lebih utama daripada mendalami ilmu hukum-hakam” .

Ini tidak bermakna ilmu hukum-hakam tidak wajib dipelajari, bahkan kata-kata al-Imam Abu Hanifah ini menerangkan bahawa ilmu Tauhid itu sememangnya wajib dan amat penting dan sangat utama.

Di samping alasan-alasan di atas, ketahuilah persoalan aqidah tauhid lebih utama kerana perkara aqidah wajib diamalkan atau dipegang seumur hidup kita sedari bangun tidur sehingga tidur semula dan sedari baligh sehingga mati. Hal ini tidak seperti solat, puasa, zakat, zikir, bacaan al-Quran dan sebagainya yang dapat diamalkan pada batasan waktu tertentu. Selain itu, persoalan aqidah tauhid adalah soalan pertama yang dikemukakan di alam barzakh gerbang akhirat.

Oleh itu, saya terdorong untuk menyusun satu risalah yang akan membicarakan Dua Kalimah Syahadah dari pelbagai sudut seperti makna Dua Kalimah Syahadah, perkara-perkara yang membatalkannya dan taubat dari murtad. Saya menjudulkan risalah ini sebagai Aku Bersaksi… Penjelasan Aqidah Dari Dua Kalimah Syahadah. Mudah-mudahan risalah kecil menjadi satu sebab kepada hidayah dan rahmat kepada sesiapa yang membacanya. Semoga pembikinan risalah kecil menjadi amal soleh buat penulis dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyebarannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan