Sabtu, 12 September 2009

PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR 2

PENJELASAN AQIDAH ISLAM YANG TEPAT
BAHAWA ALLAH WUJUD TANPA BERTEMPAT


Fasal 1

Penjelasan
Bahawa Allah Maha Suci Dari Sifat Duduk Dan Bertempat
Dengan Dalil-Dalil Al-Quran, Hadis, Ijmak Dan Akal




1. Dalil al-Quran

Sesungguhnya Allah taala tidak memerlukan segala makhluk-Nya. Demi mensucikan Allah dari sifat persamaan dengan makhluk-Nya dan dari sifat berhajat kepada suatu tempat atau dari sifat berhajat kepada masa cukuplah dengan firman Allah taala:

ليس كمثله شىء
Mafhumnya:
Tiada suatupun yang sama seperti-Nya” [Surah al-Shura, ayat 11]

Al-Imam al-Qurtubi berkata ketika mentafsir ayat di atas dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi[1]:

وقد قال بعض العلماء المحققين: التوحيد إثبات ذات غير مُشْبِهَة للذوات ولا مُعَطَّلة من الصفات وزاد الواسطي رحمه الله بيانًا فقال: ليس كذاته ذات ولا كاسمه اسم ولا كفعله فعل و لا كصفته صفة إلا من جهة موافقة اللفظ... وهذا كله مذهب أهل الحق والسنة والجماعة رضي الله عنهم
Maksudnya:
Dan sesungguhnya sebahagian ulama muhaqqiqin telah berkata: “Tauhid itu ialah penetapan suatu zat yang tidak menyerupai zat-zat yang lain dan tidak menafikan sifat-sifat, al-Wasiti menambah suatu penjelasan dengan berkata: “Tiada suatu zat pun seperti zat-Nya, tiada suatu perbuatan pun seperti perbuatan-Nya dan tiada suatu sifat pun seperti sifat-Nya melainkan dari segi persamaan lafaz… Dan ini semuanya ialah mazhab Ahlul-Haqq was-Sunnah wal-Jama^ah radiyaLlahu ^anhum”. Intaha.



Allah taala berfirman:

هل تعلم له سميًا
Mafhumnya:
…apakah engkau mengetahui ada suatu yang sama dengan Dia?” [Surah Maryam, ayat 65]

Al-Imam al-Qurtubi mentafsirkan ayat di atas dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi[2]:

قال ابن عباس: يريد هل تعلم له ولدًا أي نظيرًا أو مثيلا
Maksudnya:
Ibn ^Abbas berkata: “Firman Allah taala itu bermaksud: “Adakah engkau mengetahui Dia ada anak yakni sebanding atau semisal dengan-Nya?”.

Allah taala berfirman:

ولم يكن له كفوًا أحد
Mafhumnya:
…dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya”. [Surah al-Ikhlas, ayat 4]

Antara sifat ketidaksamaan Allah dengan sesuatu selain-Nya ialah sifat kewujudan-Nya yang tidak pernah didahului dengan ketiadaan dan tidak ada permulaan bagi kewujudan-Nya. Dengan kata lain, tiada suatupun yang wujud tanpa didahului oleh ketiadaan melainkan Allah taala! Oleh itu, Allah telah wujud sebelum selain-Nya wujud. Inilah yang disebut sebagai azali atau keazalian. Ini berdasarkan firman Allah taala:

هو الأول
Mafhumnya:
Dia-lah Yang Maha Awal”. [Surah al-Hadid, ayat 3]

Ayat 3 surah al-Hadid di atas ditafsirkan dengan dalil hadis yang menyusul di bawah.


2. Dalil Hadis

Rasulullah sallahu ^alayhi wa-sallam bersabda:

كان الله ولم يكن شيءٌ غيره
Mafhumnya:
Allah ada azali dan selain-Nya tiada pun”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Bayhaqi]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani (w. 852 H) menghuraikan hadis di atas dalam kitabnya Fathul-Bari dengan katanya[3]:

والمراد بكان في الأول الأزلية وفي الثاني الحدوث بعد العدم
Maksudnya:
Dan maksud kana dalam lafaz yang pertama ialah keazalian (kewujudan tanpa didahului oleh ketiadaan atau kewujudan tanpa permulaan) dan dalam lafaz kedua ialah kebaharuan selepas ketiadaan (kewujudan yang didahului oleh ketiadaan atau kewujudan yang ada permulaan)”. Intaha.

Justeru, Allah taala sentiasa wujud azali dalam keadaan tiada suatupun yang bersama keazalian-Nya. Tiada suatu air pun, tiada suatu udara pun, tiada suatu bumi pun, tiada suatu langit pun, tiada suatu Kursi pun, tiada suatu Arasy pun, tiada suatu manusia pun, tiada suatu jin pun, tiada suatu malaikat pun, tiada suatu tempat pun dan tiada suatu masa pun bersama keazalian-Nya! Oleh itu, Allah taala wujud sebelum kewujudan tempat tanpa suatu tempat, dan Dia-lah yang telah mencipta tempat dan Arasy serta Dia tidak berhajat pun kepada ciptaan-Nya.

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam bersabda:

اللهمّ أنت الأول فليس قبلك شيء, وأنت الاخر فليس بعدك شيء, وأنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء
Mafhumnya:
Ya Allah! Engkau al-Awwal maka tiada suatupun sebelum-Mu, Engkau al-Akhir maka tiada suatupun selepas-Mu, Engkau al-Zahir maka tiada suatupun di atas-Mu, dan Engkau al-Batin maka tiada suatupun di bawah-Mu”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Al-Hafiz Ahmad ibn al-Husayn al-Bayhaqi (w. 458 H) berkata dalam kitabnya al-Asma' wa al-Sifat[4]:
استدل بعض أصحابنا بنفي المكان عن الله تعالى بقول النبي: ((أنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء)) وإذا لم يك فوقه شيء ولا دونه شيء لم يكن في مكان
Maksudnya:
"Sebahagian para sahabat kami mengambil dalil tentang penafian tempat daripada Allah taala dengan sabdaan Nabi : ((أنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء)). Dan jika tiada suatupun di atas-Nya dan tiadapun di bawah-Nya maka Allah tidak berada di suatu tempat pun". Intaha.


3. Dalil Ijmak

Kaum muslimin telah bersepakat bahawa Allah taala tidak bertempat di suatu tempat, tidak diliputi oleh sebarang tempat, tidak mendiami langit dan tidak juga mendiami Arasy kerana Allah taala wujud sebelum kewujudan Arasy, langit dan tempat. Allah taala mustahil berubah dari suatu keadaan kepada suatu keadaan dan dari suatu sifat kepada suatu sifat kerana perubahan keadaan dan sifat adalah sifat makhluk. Oleh itu, Allah taala wujud dengan kewujudan yang azali tanpa suatu tempat pun, dan selepas Dia mencipta tempat Dia masih wujud tanpa bertempat.

Ketahuilah bahawa para ulama yang terdiri daripada ahli hadis, ahli fiqh, ahli tafsir, ahli bahasa Arab, ahli usul, para ulama empat mazhab iaitu mazhab-mazhab Shafi^i, Hanafi, Maliki dan Hanbali - kecuali tokoh mazhab yang berpegang dengan aqidah tajsim - , ulama sufi yang benar semua mereka ini berpegang dengan aqidah yang mensucikan Allah dari tempat.

Antara ulama yang membawa nukilan ijmak Ahlus-Sunnah di atas aqidah yang mensucikan Allah taala dari tempat ialah al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir ibn Tahir al-Baghdadi (w. 429 H) dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[5]:

وأجمعوا – أي أهل السنة والجماعة – على أنه – أي الله – لا يحويه مكان ولا يجوي عليه زمان
Maksudnya:
Dan mereka – iaitu Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah – berijmak bahawa Dia – iaitu Allah – tidak diliputi oleh suatu tempat dan tidak dilalui ke atas-Nya oleh suatu masa”. Intaha.

Al-Shaykh Imamul-Haramayn Abul-Ma^ali ^Abdul-Malik ibn ^AbduLlah al-Juwayni al-Shafi^i al-Ash^ari (w. 478 H) menjelaskan ijmak tersebut dalam kitabnya al-Irshad[6]:

ومذهب أهل الحقّ قاطبة أنّ الله سبحانه وتعالى يتعالى عن التحيّز والتخصص بالجهات

Maksudnya:
Dan mazhab Ahlul-Haqq bersepakat bahawa Allah subhanahu wa-ta^ala disucikan dari sifat mengambil lapang atau ruang dan disucikan dari sifat pengkhususan dengan arah”. Intaha.


4. Dalil Akal

Allah taala berfirman:
وقالوا لو كنَّا نسمع أو نعقل ما كنَّا فى أصحب السعير
Maksudnya:
Dan mereka berkata: “Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala”. [Surah al-Mulk, ayat 10]

Akal di sisi ulama tauhid adalah saksi bagi syarak dan bukanlah asal bagi agama. Oleh itu, para ulama tauhid tidak berbicara tentang hak Allah taala semata-mata bergantung kepada akal, bahkan mereka berbicara tentang perkara ini dari sudut pendalilan dengan akal berdasarkan perkhabaran yang sahih daripada Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam. Justeru, akal yang sejahtera tidak keluar dari perkara yang dibawa oleh syarak dan tidak saling bertentangan.

Dalil akal yang menunjukkan bahawa Allah taala itu maha suci dari tempat ialah jikalah akal boleh menerima bahawa Allah taala wujud tanpa bertempat sebelum penciptaan segala tempat, maka pastilah akal juga boleh menerima bahawa Allah taala juga wujud tanpa bertempat selepas penciptaan tempat dan ini bukanlah suatu penafian kewujudan Allah taala.

Perubahan keadaan dan sifat itu mustahil berlaku ke atas Allah taala kerana perubahan adalah bukti kebaharuan (kewujudan yang didahului oleh ketiadaan) yakni kemakhlukan. Kebaharuan atau kemakhlukan pula menafikan sifat ketuhanan. Iktikad tidak berdiri di atas perkara yang ditanggap oleh sangkaan, tetapi berdiri tegak di atas perkara yang boleh ditanggap oleh akal yang waras lagi sejahtera yang merupakan saksi kepada syarak.
___________________________________________

[1] Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, Dar al-Fikr, Beirut, jil. 8, juz. 16, hlm. 10.
[2] Ibid, jil. 6, juz. 11, hlm. 54.
[3] Ibn Hajar al-^Asqalani, Fathul-Bari, Dar al-Rayyan, Kaherah, juz. 6, hlm. 334.
[4] Al-Bayhaqi, al-Asma’ was-Sifat; Bab ma ja’ fil-^Arsh wal-Kursi, Dar Ihya’ al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 400.
[5] Al-Farq baynal-Firaq, Dar al-Ma^rifah, Beirut, hlm. 333.
[6] Al-Juwayni, al-Irshad ila Qawati^il-Adillah fi Usulil-I^tiqad, Mu’assasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, Beirut, hlm. 58.

3 ulasan:

  1. salam.. allah wujud tanpa tempat..bagaimana dgn dalil quran.. arrahman nuallar arsy ni istawa?rujuk srah al jin 8-9,sajdah 5,al nahl 50,mu'min3637as syu ara192-195,al araf 54,al mulk 16-17,fatir 10,an nisa 158,al marij 3-4 asy syura 11,taha 5,
    ]Ini belum dgn hadis sohih dan qaul imam mustahid(mutlak)
    sila rujuk quran dulu..

    BalasPadam
  2. Assalamualikum wr.wb.

    @aaron
    1.Ayat2 mutasyabihah perlu dikembalikan
    kepada ayat muhkamat ليس كمثله شىء
    2.Sila lihat ayat 7 surah Ali Imran.

    BalasPadam
  3. FAKTA:


    Tiada seorang ulama dari 300 tahun pertama Islam yg mengatakan Allah tidak bertempat.

    Maksudnya artikel ini keseluruhannya bohong

    BalasPadam