Ahad, 24 Mei 2009

PERMATA YANG BERSINAR MENERANGKAN AQIDAH ISLAM YANG SEBENAR

PENGENALAN



الحمد لله الذي خصّ علماءَ أهل السنة بحمل راية التوحيد وعقيدة الإسلام
ووفقهم لردّ كل شبهة وضلالة يذيعها المبتدعة بين العوام
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد مَن كشف الله به الدجى ومحا الظلام
أما بعد


Allah taala berfirman:

فلولا نفر من كلّ فرقة منهم طائفة ليتفقهوا فى الدين ولينذروا قومهم إذا رجعوا إليهم لعلّهم يحذرون
Mafhumnya:
"Mengapa tidak ada beberapa orang daripada setiap golongan di kalangan mereka satu kumpulan pergi untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka Telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya." [Surah al-Tawbah, ayat 122]

Ulama umat ini ibarat bintang-bintang di langit yang dijadikan sebagai panduan dan petunjuk oleh mereka diselubungi kegelapan kebingungan dan disamarkan oleh pelbagai petunjuk jalan. Oleh itu, jika seseorang itu melihat di hadapannya beberapa tokoh ulama besar yang diakui oleh umat tentang kelebihan dan ilmu mereka ditalaqqikan oleh orang khusus dan orang awam, maka ketika itu dia pasti mengetahui bahawa jalan ulama besar tersebut adalah satu manhaj (metode) dan perjalanan yang mengikut jejak manhaj dan perjalanan para Sahabat, Tabi^in dan Tabi^ Tabi^in. Tidak ada satu pun ilmu Islam melainkan merekalah yang keterhadapan. Mereka tidak meninggalkan satu bab ilmu sedangkan mereka tidak menceburinya. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan kemuliaan yang kukuh dalam setiap ilmu syariat. Sesiapa yang sedar dan melihat perpustakaan Islam di segenap bahagian ilmu Islam termasuk al-Quran dan ilmunya, al-Hadis dan disiplinnya, fiqh dan usulnya serta furu^nya, sirah, maghazi, sejarah, bahasa dan kesusasteraan, maka dia keluar dengan yakin tanpa diselubungi oleh sebarang sangsi serta mengakui kelebihan dan jasa ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah dalam mempertahankan agama Islam.

Sukacitanya saya memuatkan kata-kata para ulama yang berjasa sepanjang zaman bermula kurun pertama hijrah hingga kurun kelima belas hijrah secara bersiri dalam blog ini dengan judul Permata Yang Bersinar Menerangkan Aqidah Islam Yang Sebenar. Demikian juga saya sengaja memilih sebahagian ulama tersebut yang mendalami pelbagai disiplin dan ilmu bagi mengukuhkan dan menetapkan hati dan supaya hamba Allah yakin bahawa aqidah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah ini adalah aqidah al-Quranul-Karim dan manhaj Rasulullah yang asal aqidah tersebut berpunca dari asas agama iaitu: لا إله إلا الله, dan bahawasanya aqidah inilah yang telah sepakati oleh umat Muhammad. Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa salam bersabda:
((لا تجتمع أمتي على ضلالة))
Mafhumnya:
"Umatku tidak bersepakat di atas kesesatan". [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]

Kami memohon kepada Allah taala agar menjadikan catatan ringkas ini suatu yang bermanfaat secara meluas kerana sesungguhnya Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu dan Maha Mengetahhui tentang hamba-hamba-Nya.

1 ulasan:

  1. salam syiekh ana linkkan blog anta di mega links salam perjuangan, bagus blog anta ada banyak ulamak, ulamak dahulu lain mereka ikhlas dengan penyampaian mereka dan mereka sikah, ulamak sekarang bukan semua, cuma ulamak yang ampusana-waampusini je bermasalah
    cintakan ulamak sebagai idola hidup kita insyaallah kita tak lari dari kehendak Allah, sebab ulamak pewaris nabi

    BalasPadam