Sabtu, 26 Februari 2011

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (6)

BAB 3
BERTAUBAT DARI DOSA MURTAD DAN
HUKUM BERKAITAN DENGAN MURTAD


PASAL PERTAMA: PENGENALAN

Bertaubat dari dosa adalah wajib ke atas setiap mukallaf, sama ada bertaubat dari dosa kecil dan dosa besar.

Riddah atau murtad adalah dosa besar yang sangat buruk dan amat keji. Kekejian dosa murtad ini dipandang dari sudut bahawa lantaran murtad maka segala pahala amal soleh yang pernah dilakukan sewaktu Islam dihapuskan, dan segala dosa yang pernah dilakukan pula masih kekal. Bahkan, selepas bertaubat dari dosa murtad segala pahala tersebut tidak dikembalikan semula dan dosa semasa sebelum murtad dan semasa murtad masih kekal.


PASAL KEDUA: TAUBAT DARI RIDDAH

Wajib ke atas sesiapa yang murtad untuk kembali segera kepada Islam dengan:
(1) mengucap Dua Kalimah Syahadah,
(2) meninggalkan sebab murtad tersebut,
(3) menyesal di atas dosa murtad, dan
(4) berazam tidak kembali kepada dosa murtad.

Syarat sah kembali kepada Islam ialah:
(1) tidak berazam untuk kufur pada masa mendatang, dan
(2) tidak ragu-ragu berkenaan azam tersebut.


PASAL KETIGA: HUKUM YANG BERKAITAN DENGAN MURTAD

Hukuman Ke Atas Orang Murtad
Jika seseorang yang murtad itu tidak mahu kembali kepada Islam, maka:
(1) wajib memintanya bertaubat dari dosa murtad tersebut dan tidak diterima daripadanya melainkan Islam, atau
(2) wajib hukuman bunuh yang dilaksanakan oleh khalifah setelah ditawarkan untuk kembali kepada Islam.

Khalifah memuktamadkan hukum murtad dengan salah satu daripada dua perkara, iaitu sama ada:
(1) dengan pengakuan si murtad, atau
(2) dengan kesaksian dua lelaki yang adil.

Kesan Murtad Dari Sudut Hukum
(1) Puasa, tayammum dan nikah seseorang murtad itu adalah batal.
(2) Pernikahan seseorang yang murtad tidak sah meskipun dengan pasangan yang murtad sepertinya. Demikian juga pernikahannya juga tidak sah dengan pasangannya yang muslim, atau beragama Yahudi, atau beragama Kristian atau beragama berhala.
(3) Sembelihan orang murtad menjadi haram.
(4) Orang murtad tidak boleh mewariskan harta pusakanya dan tidak boleh menerima warisan daripada harta pusaka.
(5) Haram menyembahyangkan mayat orang murtad dan mengebumikannya di tanah perkuburan orang-orang Islam, serta tidak wajib memandikan dan mengkafankannya.
(6) Harta orang murtad yang telah mati menjadi fay’ iaitu menjadi milik Baytul-Mal untuk maslahah orang-orang Islam.


والله أعلم


Dengan pertolongan Allah risalah ini selesai disusun oleh al-Faqir ilaLlah Abu Nur al-Dununiyy
al-Muwariyy al-Ash^ariyy al-Shafi^iyy pada 1 Rabi^ul-Thani 1431 H (secara hisab tanpa ru’yah) bersamaan 17 Mac 2010 R di daerah Dungun, Terengganu Darul Iman.
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى ءاله وصحبه أجمعين
والحمد لله ربّ العالمين

Tiada ulasan:

Catat Ulasan