Ahad, 24 Oktober 2010

AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH (5)

BAB 2
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN DUA KALIMAH SYAHADAH


FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Barangsiapa yang berlaku kepadanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, maka dia telah murtad iaitu keluar dari agama Islam atau putus dari ikatan agama Islam. Murtad termasuk dosa kufur yang merupakan dosa paling besar di sisi Allah taala dan tidak ada lagi dosa yang lebih besar dari dosa kufur.

Bagi menyelesaikan masalah murtad tidak dapat tidak kita mesti mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan murtad. Oleh itu, seseorang yang mukallaf itu wajib mempelajari perkara yang boleh membatalkan Dua Kalimah Syahadah supaya dia tidak terjerumus ke dalam kancah murtad dan supaya dapat mengislamkan kembali mereka yang telah murtad. Ini kerana orang yang tidak mengetahui sesuatu kemudaratan tidak dapat menyelamatkan dirinya dan orang lain dari kemudaratan tersebut.


FASAL KEDUA: SEBAB-SEBAB MURTAD

Tiga perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad seperti yang telah diterangkan oleh para ulama di kalangan empat mazhab, iaitu: kufur i^tiqadiyy, kufur fi^liyy, kufur qawliyy.


Kufur I^tiqadiyy
Kufur i^tiqadiyy ialah kekufuran dengan sebab niat, pegangan, kepercayaan atau keyakinan dalam hati. Antara contoh kufur i^tiqadiyy ialah:
1) Ragu-ragu atau syak terhadap Allah dan rasul-Nya atau al-Quran atau hari Akhirat atau syurga atau neraka atau ganjaran-Nya atau balasan-Nya atau hukum-Nya atau syiar-Nya atau perkara yang telah diijmakkan (disepakati) oleh para ulama mujtahidin.
2) Kepercayaan bahawa alam ini azali pada jisim dan unsurnya atau unsurnya sahaja.
3) Menafikan salah satu sifat dari sifat-sifat Allah yang telah diijmakkan seperti sifat Maha Mengetahui segalanya.
4) Mensifatkan Allah dengan suatu sifat yang tidak layak bagi-Nya seperti mensifatkan-Nya mempunyai jasad, bertempat, berakal dan seumpamanya.
5) Menghalalkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti zina, liwat, membunuh, mencuri, merompak, menyamun, arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.
6) Mengharamkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti berjual beli, nikah dan seumpamanya.
7) Menafikan kefarduan pada perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai wajib atau fardu hukumnya dengan ijmak seperti solat fardu atau salah satu daripada rukun-rukun solat (seperti sujud), zakat, puasa, haji, wuduk, menutup aurat dan seumpamanya.
8) Berniat atau berazam mahu menganut agama bukan Islam pada masa akan datang.

Perhatian: Lintasan hati tidak menyebabkan murtad kerana ia muncul di dalam hati tanpa kehendak seseorang.


Kufur Fi^liyy
Kufur fi^liyy ialah kekufuran dengan sebab perbuatan yang zahir meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur fi^liyy ialah:
1) Sujud kepada berhala atau matahari atau bulan atau sesuatu selain Allah yang dianggap sebagai tuhan.
2) Sujud kepada manusia dengan tujuan menyembahnya.
3) Perbuatan menghina hukum atau syiar Islam seperti melempar mushaf al-Quran, kitab atau helaian yang mengandungi ayat al-Quran, hadis atau hukum-hukum agama Islam ke tempat yang jijik atau kotor.
4) Memakai syiar agama bukan Islam dengan tujuan berbangga atau kagum dengan agama bukan Islam tersebut seperti memakai rantai salib dan baju yang ada salib.

Kufur Qawliyy
Kufur qawliyy ialah kekufuran dengan sebab perkataan kufur yang diugkap dengan sengaja meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur qawliyy ialah:
1) Memanggil seorang muslim yang lain: “Wahai kafir!” atau “Wahai Yahudi!” atau “Wahai Kristian!” atau “Wahai orang yang tiada agama” dengan maksud agama Islam yang dianut oleh muslim itu sebagai agama yang bersifat kufur, atau sebagai agama Yahudi, atau sebagai agama Kristian, atau sebagai bukan agama. Jika panggilan tersebut dengan maksud untuk menyamakan perbuatan jahat muslim tersebut dengan perbuatan orang kafir, atau orang Yahudi, atau orang Kristian, atau orang yang tiada agama, maka itu bukan suatu kekufuran.
2) Menghina, memperlekeh, merendah-rendah atau mempersenda-sendakan salah satu daripada sifat-sifat, nama-nama Allah, janji-Nya, ancaman-Nya, kitab-Nya, nabi-nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-hukum-Nya, syiar-Nya dan seumpamanya.
3) Menafikan salah satu daripada sifat-sifat wajib bagi Allah dan para nabi-Nya.
4) Mensifatkan dengan sifat mustahil kepada Allah dan para nabi-Nya.

Perhatian: Lima keadaan perkataan kufur dikecualikan dari dihukumkan sebagai murtad, iaitu;
1) Keadaan tersasul: iaitu perkataan yang terluncur di lidah tanpa sengaja atau tanpa kehendak.
2) Keadaan hilang akal atau belum baligh. Namun, wajib ke atas kita menegah atau melarang orang yang hilang akal atau kanak-kanak tersebut dari mengungkapkan perkataan kufur.
3) Keadaan dipaksa dengan ugutan bunuh atau seumpama bunuh, iaitu dengan syarat; orang yang dipaksa itu masih lagi beriman di dalam hatinya, tidak meredai dan tidak beriktikad dengan perkataan kufur tersebut.
4) Keadaan menghikayatkan atau menceritakan perkataan kufur sama ada memulakan dengan menyatakan pihak yang berkata dengan perkataan kufur tersebut iaitu sebelum perkataan kufur, contohnya: “Golongan Wahhabi berkata: “Allah duduk di atas Arasy”, atau dengan menyatakan pihak yang berkata tersebut selepas perkataan kufur iaitu dengan berniat terlebih dahulu sebelum bercerita bahawa akan menyatakan pihak yang berkata itu selepas perkataan kufur tersebut, contohnya: “[Berniat bahawa akan menyatakan bahawa puak Wahhabi mengungkapkan perkataan kufur ini] Allah duduk di atas Arasy”. Kata puak Wahhabi”.
5) Keadaan seseorang yang mentakwil dengan ijtihadnya dalam memahami hukum syarak dalam perkara yang bukan qat^iyy. Contohnya golongan yang enggan membayar zakat pada zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakr dengan takwilan mereka bahawa zakat wajib dibayar pada zaman hayat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa-sallam kerana doa keampunan baginda buat mereka ketika membayar zakat adalah suatu ketenangan dan penyucian dari dosa buat mereka berdasarkan ayat 103 surah al-Tawbah.


Kaedah: Setiap pegangan, perbuatan atau perkataan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah, kitab-kitab-Nya, para nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-Nya, syiar-Nya, janji-Nya atau ancaman-Nya adalah suatu kekufuran.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Berikut ialah beberapa kajian dan bahan bukti yang akan memberi kita faham dengan jelas tentang gerakan senyap Kaum Muda dan Wahabbi Salafi yang sedang mengancam aqidah umat islam di negara ini.

    SILA KLIK http://www.docstoc.com
    UNTUK CARIAN TAJUK-TAJUK BERIKUT
    • Bangsa Melayu Mengikut Ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah
    • Tok Ayah Zid Kedai Lalat
    • Kuasa Tiang Kepada Cita-Cita
    • 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah
    • Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
    • Jom Kenali Dr Maza & Co
    • Ahlul Bait Yang Dicerca

    SILA KLIK http://www.4shared.com
    UNTUK CARIAN TAJUK-TAJUK BERIKUT
    • Rasulullah Budak Kampung
    • Maulid Tandingi Krismas
    • Sifat 20 Tidak Wajib (Nik Aziz)
    • Wahabbi Adalah ASWJ (Hadi Awang – Part 1)
    • Wahabbi Adalah ASWJ (Hadi Awang – Part 2)
    • Asma’ Wa Sifat (Hadi Awang)
    • Sifat 20 – Dr Mohd Asri al-Wahabbi
    • Sifat 20 – Rasul Dahri al-Wahabbi
    • Sifat 20 – Fathul Bari al-Wahabbi

    Taklif pengkaji telah pun selesai, maka terserahlah kepada budi bicara pembaca sekalian untuk menerima ataupun sebaliknya. Bagi mereka yang mendapat hidayah, maka bertindaklah mengikut kadar upaya tangan (kuasa/undi), lidah (dakwah/hebahan) atau hati (doa) bagi mempertahankan aqidah hakiki Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang bersendikan mazhab tauhid Imam Abu Hasan Ali bin Ismail al-Asy'ari ra dan Imam Abu Mansur al-Maturidi ra; mazhab feqah Imam Abu Hanifah ra, Imam Malik bin Anas ra, Imam Muhammad as-Syafie ra atau Imam Ahmad bin Hanbal ra; mazhab tasauf Imam Ghazali qsa dan Imam Junaid al-Baghdadi qsa.


    FAKEH KHALIFAH SAKA
    fakeh@hush.com

    BalasPadam
  2. Salam,betulkan lintasan hati tidak murtad? Saya pernah kadang2 terlintas di hati mempersenda tuhan tanpa kemahuan saya dan saya menangis kerana takut azab Allah dan cepat2 mengucap. Perkara ini kadang2 berlaku dan menganggu kekhusyukan solat saya serta ibadah sunah lain. Adakah saya berdosa? Bagaimana hendak mengatasinya

    BalasPadam