Rabu, 23 November 2011

SOALAN 12: Apakah hukum memanggil atau menyeru (النداء) seseorang nabi atau wali meskipun bukan di hadapan mereka?

Jawapan: Perkara sedemikian boleh dilakukan kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dianggap peribadatan atau penyembahan kepada selain Allah. Ucapan "Wahai Rasulullah!" semata-mata bukanlah penyekutuan dengan Allah. Ini kerana telah thabit bahawa Bilal ibn al-Harith al-Muzani رضي الله عنه (seorang sahabat Baginda صلى الله عليه وسلم) mendatangi maqam (kubur) Rasulullah صلى الله عليه وسلم ketika tahun kemarau pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar ibn al-Khattab رضي الله عنه. Kemudian Bilal berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ اسْتَسْقِ لأُمَّتِكَ فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوا

(رواه البيهقي وغيره)

Maknanya: "Wahai Rasulullah! Mohonlah (kepada Allah ta'ala) agar air hujan diturunkan untuk umatmu, kerana sesungguh mereka telah mengalami bencana". (Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan selainnya).

Amalan Bilal di atas sama sekali tidak diingkari oleh Sayyidina Umar dan selain beliau, bahkan mereka menilai perbuatan tersebut sebagai amalan yang baik.

Allah تعالى berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوَّابًا رَحِيمًا

(سورة النساء: 64)

Maknanya: "Sesungguhnya jika mereka ketika menzalimi diri sendiri (dengan berbuat dosa) kemudian mereka mendatangimu lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan keampunan buat mereka, nescaya mereka mendapati bahawa Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". (Surah al-Nisa': 64)

Telah thabit bahawa Ibn ^Umar رضي الله عنهما telah berkata: يا محمد yang bermakna: "Wahai Muhammad!" ketika beliau mengalami kelumpuhan di kakinya, selepas itu beliau sembuh. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan