Rabu, 23 November 2011

SOALAN 15: Bincangkan tentang tawassul dengan para wali Allah.

Jawapan: Tidak ada seorang pun di kalangan orang-orang yang berada di jalan kebenaran (Ahlu`l-Haqq) mencakupi generasi salaf dan generasi khalaf yang berlainan daripada pendapat bahawa tawassul dengan para wali itu dibolehkan.

Dalam hadis disebutkan bahawa Sayyidina Umar bertawassul dengan al-^Abbas (bapa saudara Nabi) dengan berkata:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا

(رواه البخاري)

Maknanya: "Ya Allah kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami (supaya Engkau menurunkan air hujan)". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

SOALAN 14: Bincangkan tentang tawassul dengan para nabi.

Jawapan: Tawassul dengan para nabi dibolehkan dengan ijma^ (kesepakatan) ulama. Tawassul ialah memohon kepada Allah akan kedatangan suatu manfaat (kebaikan) atau penghindaran suatu mudarat (keburukan) dengan menyebut nama seseorang nabi atau wali untuk memuliakan mereka disertai dengan iktikad bahawa hakikatnya hanya Allah sahajalah yang mendatangkan mudarat dan manfaat.

Allah تعالى berfirman:

وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ

(سورة المائدة: 35)

Maknanya: "Kamu carilah perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kamu dengan Allah". (Surah al-Ma'idah: 35)

Dalam satu hadis ada satu peristiwa yang disebutkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengajar seorang buta bertawassul dengan Baginda. Setelah orang buta itu bertawassul bukan di hadapan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, maka Allah mengembalikan penglihatannya semula. Hadis yang menceritakan peristiwa ini diriwayatkan oleh al-Tabrani dan beliau menghukumkan hadis tersebut sebagai sahih.

SOALAN 13: Jelaskan makna istighathah dan isti^anah dengan dalil.

Jawapan: Istighathah bererti meminta pertolongan ketika kesempitan atau kesulitan, manakala makna isti^anah lebih umum dan luas.

Allah تعالى berfirman:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَوةِ

(سورة البقرة: 45)

Maknanya: "Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan sembahyang". (Surah al-Baqarah: 45)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

تَدْنُو الشَّمْسُ مِن رُءُوسِ النَّاسِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ إِذِ اسْـتَغَاثُوا بِآدَمَ

(رواه البخاري)

Maknanya: "Pada hari kiamat matahari terlalu hampir dengan kepala manusia. Ketika itu mereka meminta pertolongan kepada Nabi Adam عليه السلام". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Dalam hadis ini ada dalil bahawa meminta pertolongan kepada selain Allah taala itu boleh dilakukan tetapi wajib beriktikad bahawa tidak ada yang boleh mendatangkan bahaya dan tidak ada yang boleh memberikan manfaat secara hakikatnya kecuali Allah.

SOALAN 12: Apakah hukum memanggil atau menyeru (النداء) seseorang nabi atau wali meskipun bukan di hadapan mereka?

Jawapan: Perkara sedemikian boleh dilakukan kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dianggap peribadatan atau penyembahan kepada selain Allah. Ucapan "Wahai Rasulullah!" semata-mata bukanlah penyekutuan dengan Allah. Ini kerana telah thabit bahawa Bilal ibn al-Harith al-Muzani رضي الله عنه (seorang sahabat Baginda صلى الله عليه وسلم) mendatangi maqam (kubur) Rasulullah صلى الله عليه وسلم ketika tahun kemarau pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar ibn al-Khattab رضي الله عنه. Kemudian Bilal berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ اسْتَسْقِ لأُمَّتِكَ فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوا

(رواه البيهقي وغيره)

Maknanya: "Wahai Rasulullah! Mohonlah (kepada Allah ta'ala) agar air hujan diturunkan untuk umatmu, kerana sesungguh mereka telah mengalami bencana". (Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan selainnya).

Amalan Bilal di atas sama sekali tidak diingkari oleh Sayyidina Umar dan selain beliau, bahkan mereka menilai perbuatan tersebut sebagai amalan yang baik.

Allah تعالى berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوَّابًا رَحِيمًا

(سورة النساء: 64)

Maknanya: "Sesungguhnya jika mereka ketika menzalimi diri sendiri (dengan berbuat dosa) kemudian mereka mendatangimu lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan keampunan buat mereka, nescaya mereka mendapati bahawa Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang". (Surah al-Nisa': 64)

Telah thabit bahawa Ibn ^Umar رضي الله عنهما telah berkata: يا محمد yang bermakna: "Wahai Muhammad!" ketika beliau mengalami kelumpuhan di kakinya, selepas itu beliau sembuh. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad.

SOALAN 11: Adakah perkataan الدعاء boleh diertikan dengan selain daripada makna ibadah?

Jawapan: Ya, Allah تعالى berfirman:

لاَ تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا

(سورة النور: 63)

Maknanya: "Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain". (Surah al-Nur: 63)

SOALAN 10: Adakah perkataan الدعاء boleh diertikan dengan makna ibadah?

Jawapan: Ya, Allah تعالى berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُوا رَبِّى وَلاَ أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا

(سورة الجنّ: 20)

Maknanya: "Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya aku hanyalah beribadah kepada Tuhanku dan tidak menyekutukan-Nya dengan seorang pun". (Surah al-Jinn: 20)

Allah تعالى berfirman:

فَلاَ تَدْعُوا مَعَ اللهِ أَحَدًا

(سورة الجنّ: 18)

Maknanya: "Maka janganlah kamu beribadah kepada seseorang bersama Allah". (surah al-Jinn: 18)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

(رواه البخاري)

Maknanya: "Doa adalah ibadah". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

SOALAN 9: Apakah makna ibadah?

Jawapan: Ibadah adalah kemuncak ketundukan dan ketaatan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Subki.

Allah تعالى berfirman:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُونِ

(سورة الأنبياء: 25)

Maknanya: "Tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali Aku (Allah), maka beribadahlah (sembahlah) kepada-Ku". (Surah al-Anbiya': 25)

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ أَن يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

(رواه الشيخان)

Maknanya: "Hak Allah ke atas para hamba ialah mereka hendaklah beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu pun dengan-Nya". (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)