Ahad, 6 Mac 2011

SOALAN 6: Sila bincangkan tentang kewujudan Allah.



Jawapan: Allah itu ada dan tiada sebarang keraguan tentang kewujudan-Nya. Adanya Allah itu tanpa kayf (bagaimana, bentuk atau cara)[1], tanpa tempat, tanpa arah atau ruang dan tidak menyamai suatu pun daripada makhluk-Nya serta tiada suatu pun daripada makhluk-Nya yang menyerupai-Nya.

Allah ta^ala berfirman:

أَفِى اللهِ شَكٌّ
Maknanya: “Tiada keraguan akan adanya Allah”. [Surah Ibrahim: 10]

Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam bersabda:

كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ
Maknanya: “Allah ada (azali yakni ada tanpa permulaan) dan tiada sesuatu pun selain-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya]
___________________________

[1] Persoalan bagaimana atau cara hanya layak diajukan tentang sifat makhluk kerana ia merujuk kepada suatu bentuk, pergerakan dan perubahan sifat. Oleh itu, Allah Maha Suci dari sebarang persoalan bagaimana kerana ia melibatkan sifat makhluk.

Sabtu, 5 Mac 2011

SOALAN 5: Apakah erti Tauhid?

Jawapan: Al-Imam al-Junayd berkata:

التَّوْحِيدُ إِفْرَادُ الْقَدِيـمِ مِنَ الْمُحْدَثِ
Maknanya: “Tauhid ialah menyucikan (Allah) al-Qadim (Yang Maha Sedia Ada tidak mempunyai permulaan) dari (menyerupai makhluk-Nya) yang baharu (ada yang didahului dengan tiada dan ada permulaan)”. [Diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi]

Allah ta^ala berfirman:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ
Maknanya: “Tiada suatu pun yang sama seperti-Nya (Allah)”. [Surah al-Shura: 11]

Suatu ketika Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wasallam ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda sallaLlahu ^alayhi wasallam menjawab:

إِيـمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Maknanya: “Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]